Tuesday, 1 November 2011

Siapa Jahat: Bukti kejayaan dasar negara


TAHNIAH Malaysia. Teruskan kecemerlangan dan kemakmuran yang dinikmati hari ini. Berada di kedudukan ke-37 dalam senarai Negara Terbaik Dunia dan ketiga di rantau Asia membuktikan bahawa barisan kepimpinan tertinggi kerajaan sekarang bijak membuat percaturan dalam segala aspek yang diperlukan oleh sebuah negara yang pantas menuju ke status negara maju. Dengan lain perkataan, kemampuan kerajaan mentadbir negara diiktiraf oleh penduduk dunia.

Hasil kaji selidik majalah Newsweek edisi antarabangsa keluaran 23 hingga 30 Ogos, menunjukkan negara kita menjadi pilihan kerana mampu menyediakan tempat untuk hidup lebih selesa dan sihat, selamat, sejahtera dan maju.

Dalam kaji selidik yang diadakan itu, sebanyak 100 negara terlibat dengan kedudukan tiga teratas yang menjadi pilihan ramai adalah Finland, Switzerland dan Sweden.

Di rantau Asia Tenggara, Malaysia berjaya mengatasi Thailand (ke-58), Filipina (ke-63) dan Indonesia (ke-73). Manakala di peringkat negara-negara Asia pula, Malaysia mengatasi China (ke-59), Sri Lanka (ke-66) dan India (ke-78).

Majalah Newsweek memilih pencapaian itu berdasarkan lima kategori iaitu pendidikan, kesihatan, kualiti kehidupan, daya saing ekonomi dan persekitaran politik yang menjurus kepada kesejahteraan negara.

Dalam kategori pendidikan, Malaysia berada di tempat ke-36 dengan markah 86.43 peratus (%); kesihatan (#52, 71.02%), kualiti kehidupan (#48, 69.28%), daya saing ekonomi (#14, 61.93%) dan persekitaran politik (#54, 59.80%). Keseluruhan kedudukan adalah di tempat ke-37 dengan markah 69.69%.

Tentunya setiap rakyat Malaysia berbangga dan ia boleh dijadikan hadiah hari jadi kepada negara yang bakal menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-53 pada 31 Ogos ini.
Memang diakui cabaran yang dihadapi bukan calang-calang hebatnya terutama apabila negara terpaksa mengharung dua krisis kewangan global pada 1997 dan 2008.

Negara berjaya mengharunginya tanpa perlu bergantung kepada pinjaman Dana Kewangan Antarabangsa (IMF).

Ia sekali gus membuktikan pakej-pakej rancangan ekonomi yang dilaksanakan termasuk pakej rangsangan bernilai RM67 bilion telah memberi kesan positif terhadap ekonomi Malaysia, selain dapat merangsang sentimen dan keyakinan perniagaan.

Berikutan pertumbuhan ekonomi yang baik, maka kualiti hidup dan jangka hayat penduduk turut meningkat sejajar dengan kemajuan sektor kesihatan yang sedang menuju ke taraf dunia. Tidak hairanlah, Malaysia kini menjadi tumpuan warga asing yang datang ke sini bagi mendapatkan rawatan berkualiti pada kos yang lebih murah.

Begitu juga dalam aspek politik yang mungkin ada orang melihat suasana politik di Malaysia agak ‘kucar-kacir’ akibat tindakan melampau dan fitnah parti pembangkang. Kesemua itu tidak menjadi kudis untuk diubati kerana walau apa pun yang berlaku, rakyat negara ini masih dapat hidup dalam suasana selesa dan harmoni.

Justeru, menjadi tanggungjawab setiap rakyat untuk mengekalkan kesejahteraan dan keselamatan yang dinikmati sekarang. Hakikatnya, pencapaian hari ini bukan datang bergolek hasil usaha semalam, sebaliknya hasil kerja keras barisan pemimpin sekarang yang diterajui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pendekatan berani yang diambil oleh Najib termasuk mencadangkan Model Baru Ekonomi (MBE), pengenalan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Pelan Transformasi Ekonomi dijangka dapat meletakkan Malaysia pada kedudukan ekonomi yang lebih baik pada masa depan. Ia juga membuktikan bahawa dasar-dasar kerajaan yang dilaksanakan dalam pembangunan negara diiktiraf dunia.

Malah, dasar-dasar itu jugalah yang membawa kepada kemajuan dalam sektor pendidikan sehingga Malaysia kini menjadi tumpuan pelajar asing. Walaupun setiap kali Menteri Pelajaran bertukar dan dasar pendidikan turut berubah, namun ia tidak lari daripada matlamat melahirkan generasi berilmu, berinovasi dan berdaya saing.

Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, usaha kerajaan menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan dunia telah membuahkan hasil apabila kategori pendidikan dalam kaji selidik tersebut memperoleh 86.43 peratus.

No comments:

Post a Comment